CenT-TI English

Mengapa Pelajar Perlu Belajar Matematik Melalui KBAT (contohnya melalui Penyelesaian Masalah atau Problem Solving)?


Soalan yang sangat baik. Tetapi sebelum itu biarlah saya terangkan apa dia matematik dalam erti kata yang mudah (sudah tentu juga, kita boleh melihat matematik dari perspektif falsafah, epistemologi, keberadaan dan bagaimana untuk membawa matematik kepada kehidupan kita).

Pada asasnya matematik bukanlah hanya berkait dengan penghitungan, tetapi juga, komunikasi, penaakulan dan pemikiran, memahami teknologi dan fenomena kejadian yang berlaku di dunia. Jadi tidak ada sebab mengapa ibubapa perlu menghantar anak-anak mereka untuk belajar aritmetik mental atau jenis pembelajaran matematik yang hanya fokus kepada nombor. Pelajar perlu menghadapi realiti matematik, iaitu, tiada soalan peperiksaan akan menilai pelajar tentang aritmetik mental. Malah peperiksaan matematik memerlukan pelajar untuk mempunyai kemahiran menganalisis masalah, menilai hasil penyelesaian masalah dan membuat refleksi tentang apa yang telah dipelajari melalui penyelesaian masalah. Dalam kata lain, matematik bukan hanya berkait dengan berapa cepat pelajar dapat melakukan pengiraan tertentu. Sebaliknya, ia berkait dengan apa yang mereka perlu kira. Oleh itu, mereka perlu memahami situasi masalah sebelum memilih prosedur matematik yang sesuai atau pengiraan. Dengan penggunaan teknologi seperti kalkulator dan kalkulator grafik, masalah tidak mampu untuk mengira atau mengira dengan menggunakan jari atau bentuk aritmetik mental tidak timbul.

Terdapat beberapa cara pembelajaran matematik - melalui latihtubi dan penyelesaian masalah. Tetapi matematik, menurut N.C.T.M. (sebuah badan yang terbesar dalam penyelidikan dalam pendidikan matematik di Amerika Syarikat), adalah penyelesaian masalah (problem solving). Jadi cara yang paling berkesan untuk belajar matematik ialah melalui penyelesaian masalah (problem solving) di mana pelajar belajar beberapa kemahiran seperti disenaraikan di bawah:


  1. KBAT dalam matematik seperti pemikiran kritis, pemikiran kreatif dan pemikiran matematik. Apa sebenarnya jenis pemikiran dan bagaimana untuk mengaplikasinya dalam proses pembelajaran matematik dan kehidupan sebenar. Pelajar akan dilatih untuk menceritakan tentang bentuk-bentuk pemikiran yang digunakan dalam menyelesaikan satu masalah.

  2. Membimbing pelajar bagaimana menggunakan strategi penyelesaian masalah berdasarkan model Polya dan mengaitkan strategi ini kepada kemahiran KBAT yang telah dibimbing. Perlu diingatkan bahawa menggunakan model Polya untuk strategi penyelesaian masalah bukan sahaja tertumpu kepada prosedur atau langkah demi langkah yang perlu diikuti secara membuta tuli. Ia adalah satu pendekatan heuristik yang memerlukan pemahaman kemahiran KBAT seperti pemikiran kritis, pemikiran kreatif, pemikiran matematik dan bagaimana kemahiran dalam KBAT ini dapat dikaitkan dalam pelbagai strategi menyelesaikan masalah.

  3. Komunikasi dalam matematik yang merangkumi keupayaan untuk mewakili masalah dalam bentuk gambar rajah, persamaan, jadual dan peta-minda. Pelajar akan dibimbing bagaimana untuk membentuk kumpulan perbincangan yang berkesan di mana semua orang dalam kumpulan itu boleh berfikir secara mahir dan dengan itu akan dapat mengambil bahagian dalam perbincangan dengan lebih berkesan dan secara aktif. Perbincangan dalam kumpulan tanpa setiap peserta mengetahui KBAT dalam pembelajaran matematik tidak akan menghasilkan perbincangan yang produktif.

  4. Pengurusan pengetahuan matematik seperti bagaimana fakta, konsep dan pelbagai kemahiran daripada KBAT boleh dibuat dengan menggunakan dua jenis peta-minda. Salah satu fungsi peta minda boleh digunakan untuk membantu pelajar membuat generalisasi apa yang telah dipelajari dalam setiap topik dan satu lagi bentuk peta minda yang boleh digunakan sebagai jurnal untuk refleksi (reflection) dari segi kandungan dan kemahiran berfikir dalam topik yang dipelajari. Kajian kami menunjukkan bahawa kreativiti pelajar akan dipertingkatkan jika mereka diberi kebebasan untuk membuat sendiri peta minda mereka dan bukannya mengenakan prosedur yang khusus bagaimana peta minda perlu diwujudkan oleh pelajar berdasarkan sesuatu tajuk. Tony Buzan, orang yang pertama kali menciptakan idea peta minda pernah menegaskan bahawa peta minda harus dapat membina pemikiran kritis dan pemikiran kreatif pelajar. Terpulang kepada imaginasi pelajar untuk membangunkan sendiri peta minda mereka berdasarkan asas-asas yang perlu mereka tahu untuk membuat sesuatu peta minda. Dengan cara ini pelajar dapat mengaitkan konsep-konsep, fakta dan bentuk pemikiran melalui peta minda mereka.

  5. Pemodelan matematik (mathematical modeling) akan diperkenalkan kepada pelajar bergantung kepada tahap akademik dan kesesuaian kurikulum.

  6. Belajar Cara Belajar. Menghampiri pembelajaran matematik melalui Penyelesaian Masalah (yang merupakan bentuk KBAT) bukan sahaja membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah secara sistematik dan berkesan tetapi juga akan membantu mereka untuk Belajar Cara Belajar Matematik (Learn how to learn Mathematics). Ini adalah satu contoh dari pembelajaran abad ke-21 di mana penekanan dalam pembelajaran adalah berkait dengan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi, kerjasama, jalinan dan belajar bagaimana untuk belajar.

  7. Nota Penting. Jelaslah disini bahawa Penyelesaian Masalah (Problem Solving) tidak sama dengan Menyelesaikan Masalah (Solving Problem). Seperti yang telah diterangkan diatas Penyelesaian Masalah melibatkan aplikasi KBAT, dan pelbagai proses dan kemahiran menggunakan strategi dalam menyelesaikan sesuatu masalah matematik. Sebaliknya, menyelesaikan masalah hanya melibatkan prosedur-prosedur matematik sahaja yang akhirnya pelajar tidak mampu menguasai KBAT.

Kembali kepada Soalan Popular KBAT